Program Membangun Potensi Jati Diri

Teks ucapan Yang Berbahagia Datuk Kamarudin Md Ali, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia sempena Program Membangun Potensi Jati Diri pada 28hb Januari 2013, Isnin. Resort Teluk Batik, Manjung.

 

********************************************************************************************

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia

Pertama sekali, bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi kita semua kesihatan dan kelapangan untuk sama-sama menghadiri Program Membangun Potensi Jati Diri pada petang ini.

Saya juga memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinnya dapat saya hadir di majlis yang besar ertinya ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas ditujukan kepada penganjur yang telah berusaha menjayakan majlis pada petang ini.

MCPF menyambut baik usaha ini bagi meningkatkan lagi langkah-langkah berkesan berkaitan pencegahan jenayah di samping memupuk kesedaran dan menggalakkan penyertaan awam dalam usaha pencegahan jenayah dengan lebih menyeluruh.

Saya percaya program-program yang dilaksanakan oleh MCPF Negeri dengan agensi-agensi swasta, badan-badan kerajaan dan NGO-NGO lain telah berupaya untuk meningkatkan kesedaran dalam langkah-langkah pencegahan jenayah di negara ini khasnya di negeri Perak.

Kerajaan menerusi jabatan dan agensinya seperti pihak polis komited untuk memastikan keselamatan rakyat dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Pelbagai langkah–langkah pendekatan proaktif terus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di semua peringkat. Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), aspek keselamatan turut diberikan keutamaan dengan matlamat untuk mengurangkan kadar jenayah.

Untuk makluman para hadirin sekalian, MCPF sebagai sebuah badan bukan kerajaan telah ditubuhkan sejak 11 Januari 1993. Objektif penubuhan MCPF adalah untuk menyumbang kepada peningkatan langkah-langkah berkesan bagi mencegah jenayah dan pemulihan pesalah melalui program kerjasama menuju matlamat dalam mencapai keamanan dan keharmonian negara.

Keadaan ini hanya akan tercapai apabila setiap ahli masyarakat menyedari tanggungjawab masing-masing dalam menjaga keamanan masyarakat dan negara.

MCPF telah menandatangani perjanjian dengan pihak Kementerian pada 13 haribulan Oktober 2011 untuk pelaksanaan program SEKATA di seluruh negara. Program SEKATA iaitu singkatan daripada - keselamatan keluarga tanggungjawab kita adalah merupakan program kerjasama antara MCPF dengan LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

MCPF percaya hubungan erat antara masyarakat dengan polis merupakan senjata utama mengurangkan kadar jenayah di negara kita.

Masyarakat yang progresif adalah masyarakat yang sentiasa aman. Budaya bencikan jenayah amatlah diperlukan dalam masyarakat setempat bagi mewujudkan persekitaran yang aman dan selamat.

Bagaimanapun, suka saya menekankan bahawa tanggungjawab mencegah jenayah dan seterusnya memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap aspek keselamatan tidak seharusnya hanya dibebankan kepada pihak polis atau agensi keselamatan yang lain.

Sebaliknya setiap anggota masyarakat mesti memainkan peranan penting bagi memastikan persekitaran yang sentiasa selamat.

Justeru itu, tahap keselamatan yang baik bukan terletak di tangan pihak polis semata-mata tetapi ia melibatkan komuniti setempat. Kita memerlukan komuniti yang bersama-sama membantu jenayah agar negara ini disegani di mata dunia.

Hal ini bersesuaian dengan pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sebagai konkusinya kegiatan jenayah dalam kalangan belia dan remaja mendatangkan impak negative kepada diri, masyarakat dan Negara.

Oleh itu, masyarakat perlu menggembeleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin menjadi barah di kalangan belia dan remaja. Semoga hasrat melahirkan lebih ramai para belia dan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti akan menjadi satu realiti.

Dalam hal ini juga, saya menyeru semua pihak termasuk wakil-wakil rakyat, Ngo-ngo & pegawai kerajaan khususnya supaya memberikan sokongan kepada MCPF dalam menjayakan aktiviti - aktiviti mencegah jenayah di seluruh Negara.

Apa yang penting adalah penglibatan para belia dan remaja di dalam komuniti masyarakat setempat dari semua peringkat bagi menjayakan matlamat ini. Generasi muda merupakan kumpulan penting dalam meneraju masa depan negara dan untuk itu mereka perlu menyerlahkan jati diri dan mengembangkan potensi untuk menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri dan negara.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya berharap agar kita bersama-sama terus berusaha berganding bahu dan bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang selamat, aman dan sejahtera.

Dengan lafiz BISMILLAHHIRAMANNIRAHIM. Saya sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Program Membangun Potensi Jati Diri.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal–hidayah Wassalamualaikum Warahmutllahi Wabarakatuh.